TIRAI politik tahun 2007 yang akan dilabuhkan satu purnama lagi ternyata semakin cacat dengan gelodak pelbagai insiden serba jumud dan bakal tercatat sebagai musim paling gerhana era pimpinan negara dibawa pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi.
Bermula dengan ledakan mencanaknya harga barangan di pasaran untuk terus menjerut rakyat dalam kehidupan serba daif dan sukar, tidak terkecuali tercetus pelbagai pendedahan kelangsungan korupsi kalangan penguasa di samping lantunan berita berterusannya pengkayaan kroni membawalah kepada musim penangkapan orang politik, menjadikan landskap politik negara cukup bernoda serba menjijikkan.
Rakyat mula sedar terhadap pengkhianatan mandat besar yang dianugerahkan kepada Abdullah Ahmad Badawi lewat musim pilihan raya ke-11 empat tahun lalu apabila usaha membanteras korupsi seperti yang didengungkan olehnya tidak lebih sekadar melepas batuk di tangga serta bak kata pepatah “kuman di seberang jelas kelihatan, gajah di hadapan mata tiada dipeduli.”
Lelah marhaen melihat kacau dan rakusnya penguasa membolot serta merampuk harta rakyat menjelmakan rasa marah serta meruapnya darah mereka lantas mencetuskan fenomena politik cukup sempang-peranang.
Bertolak dari bahang untuk tidak lagi percaya serta merudumnya rasa yakin terhadap aroma demokrasi di bumi bertuah ini menyaksikan kebangkitan lebih 100,000 demonstran pelbagai kaum tanpa merasa takut melakukan perarakan raksasa menghantar memorandum menuntut DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong menggunakan kedudukannya sebagai Raja Berperlembagaan memperbetulkan kepincangan tersebut.
Yakin rakyat menurut unjuran Perlembagaan berpayung di bawah Rukun Negara yang berpaksi kepada Kepercayaan Kepada Tuhan, Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan Kedaulatan Undang-undang dan Kesopanan dan Kesusilaan menggamit mereka memohon restu majlis Raja-Raja Melayu menterjemahkan kontrak sosial secara telus.
Kesan peristiwa besar itu, Abdullah Ahmad Badawi dan sidang wazirnya mula diburu resah dan mimpi ngeri bakal berakhirnya dominasi kekuasaannya. Dan kehadiran demonstrasi Hindraf diyakini bagai ada dalang yang sengaja dicetuskan bagi membolehkan Abdullah bertindak seperti “boss” besar dunia Bush merobohkan bangunan World Trade Centre untuk melakukan serangan besar-besaran terhadap Iraq.
Seperti kata ahli falsafah “Politik adalah seni percaturan minda” dengan matlamat menghalalkan cara, maka begitulah yang dilihat pada minggu-minggu terakhir ini halacara Abdullah Ahmad Badawi menangani kemelut masa depan politiknya.
Bertolak dari siri lontaran retorik berhubung tuntutan Hindraf maka tindakan menangkap para pengkritik dan musuh politiknya mula dilakukan. Walaupun dengan berselindung di sebalik tindakan undang-undang namun, ungkapan kata-katanya untuk tidak memegang jawatan Perdana Menteri hanya satu penggal membuktikan siri penangkapan pemimpin politik tersebut bagaikan kelangsungan matlamat menghalalkan caranya.
Kiriman SMS seorang teman menyatakan “Politik Abdullah dan penguasanya berada dalam keadaan cukup terdesak dan dia mengambil langkah berbahaya sama seperti Bush dan Neo Conservative dengan menggunakan isu Weapons of Mass Destructions (Senjata Pemusnah Massa) bagi menghalalkan serangan ke atas Iraq” agak menarik untuk dijadikan renungan.
“Dengan menghubung-kaitkan Hindraf, LTTE dan gerakan pengganas Hindu di luar negara, dia mengguna pakai cara sama seperti Presiden Amerika (Bush) secara menonjolkan Al Qaeda, Saddam dan pergerakan militan Islam bagi membolehkannya menghirup darah dan air mata rakyat di bumi Iraq. Bezanya Bush menipu dunia sementara Abdullah pula mempengaruhi Melayu Islam yang berfikiran sempit untuk menangkap para penentangnya.
“Komuniti antarabangsa mula mendesak serta mempersoalkan Malaysia supaya memberi bukti kukuh hubungan Hindraf dengan LTTE dan Pergerakan Pengganas Hindu di luar negara. Kerana itulah Peguam Negara terpaksa turun padang melakukan tugas pendakwaan terhadap beberapa kes demonstran sama ada ke atas Hindraf, dua anak muda yang ditembak polis mahupun Tian Chua serta Mohamad Sabu.
“Dengan menggertak menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri “ISA” dan segala instrumen kuasa, Abdullah meniru pakai cara Bush memperkudakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Kongres Amerika serta Jabatan Kehakiman. Dalam konteks di Malaysia pula Abdullah cuba “membingkaikan” (framing) minda Melayu dengan perkara remeh tetapi diperbesarkan.
“Tindakan terdesak ala “mafia halal” sebegini pastinya bakal menjurus kepada Akta Hasutan “sedition act” yang boleh memakan dirinya sendiri. Rakyat yang bermaklumat sedar bahawa Abdullah Ahmad Badawi bersama sidang wazirnya sedang mengalami hakisan cengkaman kuasa “grip di semua sudut.” Begitulah antara kandungan pengirim yang memakai nombor talian 0163142103.
Alangkah aibnya tirai politik negara dicemari oleh tangan-tangan kotor penuh jijik untuk menjadikan aroma demokrasi bagaikan tersalut noda-noda kemusnahan. Lebih malang lagi ia turut menjumudkan jiwa merdeka warga bangsa kembali terjajah dalam kepompong menikus seribu bahasa.
Kelangsungan sedemikian turut digambarkan apabila institusi legislatif “Parlimen” tidak lagi dilihat memiliki imuniti daripada sebarang ancaman campur tangan luar apabila berlaku penangkapan politik di perkarangan bangunan tempat undang-undang serta Perlembagaan negara digubal.
Dalam erti kata lain, Parlimen bagaikan diceroboh oleh pasukan polis untuk melakukan tangkapan ke atas tetamu anggotanya. (Sila rujuk kenyataan Datuk Kamaruddin Jaafar dan Salahuddin Ayub semasa perbahasan usul pindaan Akta Suruhanjaya Pilihan Raya dengan tegas menyatakan kehadiran Datuk Mustaffa Ali adalah sebagai tetamu kedua mereka) telah diberkas oleh pasukan polis semasa berada di kawasan Parlimen.
Siapakah dalang yang buta undang-undang sanggup melakukan perkosaan terhadap imuniti Parlimen sebegitu? Siapakah yang mengarahkan agar Parlimen dijadikan medan pertempuran antara kuasa eksekutif dengan Legislatif sedangkan Perlembagaan menjelaskan pembahagian kuasa dua institusi yang berbeza itu?
Seharusnya Abdullah Ahmad Badawi menangani percaturan politik secara anak jantan, bukannya bagaikan “pahlawan bacul” berselindung di sebalik kuasa orang lain dalam usaha mempertahankan dirinya.
Kenapa tidak diizinkan rakyat membuat pilihan melalui cara demokrasi yang hakiki? Kenapa harus dijelmakan situasi sempang-peranang sebegini hingga boleh menghakiskan rasa yakin terjaminnya aroma demokrasi tetap dipertahankan di bawah sistem raja berperlembagaan? Hormatilah Perlembagaan negara yang memberi kebebasan setiap warganya bebas bersuara dan bergerak daripada terus berselindung di sebalik Akta Polis.
Malaysia telah memperolehi empat Perdana Menteri yang mewarisi percaturan politik berteraskan kepada aroma demokrasi di bawah sistem Raja Berperlembagaan. Keempat-empat pemimpin tersebut juga tidak sunyi daripada menghadapi tentangan dan cabaran parti-parti pembangkang seperti Almarhum Tunku Abdul Rahman berhadapan dengan parti Gerakan, DAP, PAS dan Parti Rakyat.
Sementara era Tun Abdul Razak turut menghadapi situasi tersebut dengan kelangsungannya dialami oleh Tun Hussein Onn bukan sekadar menentang cabaran di luar parti Barisan Nasional malahan terpaksa pula menghadapi tentangan daripada Sulaiman Palestine melalui pertandingan jawatan Presiden Umno secara anak jantan.
Tun Dr. Mahathir Mohamad turut dijengah kemelut yang sama menghadapi cabaran daripada PAS hingga terpaksa akur kehilangan kuasa pentadbiran di Kelantan, Terengganu serta Sabah era pimpinan Pairin Kitingan. Dan lebih pedih lagi apabila beliau turut ditentang daripada dalam oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kesemua pemimpin terdahulu menanganinya secara anak jantan dengan memberikan kuasa penentu kepada rakyat untuk membuat keputusan melalui pilihan raya. Kenapa harus Abdullah Ahmad Badawi mengotori laman politik negara melakukan tangkapan serta menjadi “gari polis” sebagai perisai mempertahankan kuasanya?
Kalau ketenteraman awam mahu dijadikan alasan, perlulah dibuktikan terlebih dahulu dengan membenarkan rakyat berhimpun dan menghadiri ceramah umum tanpa adanya sebarang bentuk provokasi pihak-pihak tertentu. Sekiranya terbukti berlakunya rusuhan atau menggugat keselamatan negara pasti rakyat akan bangun mempertahankan tindakan beliau .
Tetapi dengan meletakkan andaian sebagai alasan untuk menangkap dan memasungkan pencabarnya tanpa adanya bukti nyata, pastilah rakyat melihat ianya tidak lebih sebagai satu percaturan “bacul” dan bukan sikap anak jantan yang meletakkan “berani kerana benar, takut kerana salah.”
Seandainya Abdullah melaksanakan sepenuhnya janji-janji yang termaktub dalam manifesto pilihan raya empat tahun lalu untuk membasmi dan memerangi korupsi ke akar umbi, seandainya tiada perampukan harta rakyat dilakukan oleh penguasa, terhindarnya sebarang bentuk penyelewengan dalam pentadbiran, tiada juga pengkayaan orang keliling atau kroni, perlu apa Abdullah merasa gentar menghadapi onar parti pembangkang?
Kalau benarlah Abdullah Ahmad Badawi melaksanakan janjinya lewat sajak “Mencari Damai Abadi” untuk tidak mengumpul harta berjuta dan bukan hidup berfoya-foya sebaliknya kukuh mempertahankan sunah Nabi dalam impian mencari Al Ghazali dan Shafie, perlu apa dia merasa khuatir terhadap suara pembangkang?
Sesungguhnya setiap jejak dan langkah politik Abdullah Ahmad Politik penuh denai liku percaturan jumud serta dosa dan noda membenih kebencian menyimpan bara amarah bagaikan api dalam sekam. Rakyat cinta damai tidak mungkin bersedia bersekongkol dengan pemimpin yang mewarnai landskap politik tanah air dalam situasi goblok untuk menutup tabir tahun 2007 penuh kebejatan serba daif lagi dangkal.Source : Malaysia Today
No comments:
Post a Comment