Wilayah Ekonomi Pantai Timur
Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini merupakan satu lagi inisiatif bagi meningkatkan taraf hidup rakyat. Dengan menumpukan kepada usaha mengatasi ketidakseimbangan antara wilayah, ECER cuba merapatkan jurang pendapatan dan pembangunan antara Pantai Barat dan Pantai Timur.
Isu ekonomi yang tidak setara antara bandar dan luar bandar juga akan cuba ditangani melalui inisiatif ini dengan membawa dan menyediakan lebih banyak peluang untuk penduduknya.
Wilayah Pantai Timur yang terlibat dalam ECER terdiri daripada Kelantan, Terengganu, Pahang dan daerah Mersing di Johor mewakili 51 peratus daripada keluasan Semenanjung Malaysia.
Di sebalik segala sumber alam dan keistimewaan yang dimiliki, kawasan ini sebenarnya terus ketinggalan dari segenap lapangan. Apa yang tidak ada di Pantai Timur? Kawasannya cukup pelbagai. Pantai dan lautnya saujana mata memandang dengan pulau-pulau yang indah dan menawan.
Gunung-ganang, bukit-bukau dan paya rawanya berpotensi untuk dimajukan bagi memberikan hasil yang mampu meningkatkan kehidupan penduduk tempatan. Kawasannya yang luas juga cukup sesuai untuk dimajukan dengan pelbagai aktiviti pertanian, daripada penanaman sayur-sayuran kepada penternakan haiwan dan perikanan yang mampu memberi pendapatan lumayan.
Tetapi di sebalik segala kelebihan itu, Pantai Timur kekal tertinggal di belakang. Wilayah ini dihuni kira-kira 35,319 penduduk miskin tegar iaitu hampir separuh daripada jumlah kemiskinan di negara ini. Kira-kira 57 peratus daripada kemiskinan tegar di kawasan ini dari peringkat umur yang masih produktif iaitu di bawah 64 tahun.
Terengganu pula yang kaya dengan hasil petroleum mencatatkan angka kemiskinan kedua tertinggi di negara ini selepas Sabah, diikuti Kelantan. Walaupun Pahang agak baik dari segi kadar kemiskinan, namun angkanya masih tinggi. Malah Kelantan dan Terengganu berada di senarai terbawah dari segi purata pendapatan isi rumah di seluruh negara.
Data-data ini menunjukkan bahawa penduduk di negeri-negeri Pantai Timur kebanyakan masih lagi hidup dalam serba kekurangan. Sehubungan itu kerajaan melalui Petronas telah merangka pelan pembangunan ECER bagi merapatkan jurang pembangunan dan membasmi kemiskinan.
Pelan ECER akan menumpukan usaha menangani cabaran-cabaran tersebut yang akan menjadi panduan pembangunan di wilayah ini untuk tempoh 12 tahun akan datang hingga 2020.
Ia akan meliputi tiga Rancangan Malaysia, iaitu Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), RMK-10 dan RMK-11.
Sebanyak RM112 bilion bakal dilaburkan melalui inisiatif ECER, dengan 27 peratus pembiayaan daripada sektor swasta, 26 peratus inisiatif kewangan swasta dan bakinya daripada peruntukan di bawah Rancangan Malaysia.
ECER bukan tentang projek mega. Walaupun diterajui oleh Petronas, ia bukan hanya membabitkan industri minyak dan gas sahaja. Seperti kata Naib Presiden Pembangunan dan Perancangan Korporat Petronas, Datuk Nasarudin Md. Isa, projek-projek yang akan diberi tumpuan ialah yang dapat memberi makna kepada rakyat.
“Hendak bercakap tentang projek-projek besar, kadang-kadang ia tidak relevan dengan keadaan hidup rakyat setempat,” katanya.
Dengan matlamat untuk mencapai keseimbangan sosioekonomi. Bidang ekonomi yang sudah sebati dengan kehidupan seharian rakyat, yang dianggap sebagai biasa akan diberi keutamaan.
Sebab itu, pertanian merupakan teras dalam inisiatif ECER. Ini kerana ia merupakan aktiviti ekonomi utama penduduk di wilayah ini.
Ternakan ayam, lembu, kambing, pertanian, dan perikanan selain pelancongan serta pendidikan akan diberi tumpuan supaya ia memberi manfaat kepada rakyat secara keseluruhannya.
Menurut Nasarudin, tidak ada konsep baru dan asing disogokkan.
Sebaliknya sektor sedia ada seperti perikanan dan pertanian yang selama ini dikaitkan dengan kemiskinan akan dibantu supaya pendapatan meningkat.
Untuk memastikan hasil yang dikeluarkan dapat diedar ke kawasan lain, kerajaan akan menyediakan prasarana yang lebih baik. Lebih separuh peruntukan akan disalurkan untuk memperbaiki jaringan pengangkutan supaya mudah dihubungkan dengan kawasan-kawasan lain di pantai barat.
Selain kekurangan dari segi fizikal, cabaran lebih besar dalam memastikan matlamat ECER tercapai ialah bagaimana mahu mengubah minda penduduknya.
Jika rakyat di kawasan itu tetap dengan prinsip yang cupak tidak akan jadi segantang dan lebih selesa dengan cara kehidupan kais pagi makan pagi maka pelaburan yang dilakukan melalui inisiatif ECER akan menjadi sia-sia.
Oleh itu rakyat di kawasan ini perlu bangkit mengambil kesempatan yang tersedia bagi memajukan diri demi kepentingan generasi akan datang.
Pemimpin-pemimpin setempat perlu memainkan peranan memberikan penerangan dan meyakinkan rakyat bahawa peluang ini hanya datang sekali.
Di samping itu, pendidikan juga akan dijadikan mekanisme untuk membantu penduduk Pantai Timur memperbaiki tahap ekonomi mereka.
Untuk itu, semua 190 institusi pengajian tinggi dan institusi kemahiran yang terdapat di ECER akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi membentuk modal insan berkualiti.
Inisiatif ECER juga menawarkan banyak peluang kepada belia dan menyelamatkan mereka daripada masalah-masalah sosial semasa.
Kerajaan begitu komited dalam menjayakan pelan induk ini termasuk sanggup mengetepikan perbezaan politik.
Namun rakyat yang bakal menentukan sama ada mereka cekal dan mempunyai kemahuan untuk menjayakannya. Atau sekadar membiarkan ia tertulis sebagai satu pelan semata-mata.
Source : IslamHadhari.net
Note :
Lihatlah huruf-huruf yang tercetak tebal di atas. Pernyataan kemiskinan berulang kali dituliskan. 51 % warga Malaysia miskin ! Hal itu diakui dalam situs Islam Hadhari. Islam sesat buatan buatan pemerintah kerajaan Malaysia untuk melanggengkan kekuasaan Barisan Nasional, koalisi partai politik status quo di Malaysia.
Sangat tidak demokratis ya, kasian banget :)
Saturday, December 8, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment