Saturday, December 8, 2007

Rezim Represif Malaysia Melepaskan Gas Air Mata ke Masjid India

Andrew Ong (Malaysiakini)

Nov 10, 07 -- Polis melepaskan tembakan meriam air bercampur bahan kimia ke arah orang ramai yang menyertai perhimpunan aman menuntut pilihanraya bersih dan adil, mengakibatkan mereka bertempiaran lari mencari tempat untuk berlindung.

Ia berlaku kira-kira jam 2.10 petang di kawasan Masjid India, Sebahagian besarnya lari masuk ke dalam Masjid India dan sebuah bangunan berhampiran yang menempat sebuah bank dan stesen LRT.

Beberapa minit kemudiannya, tembakan meriam air itu dihalakan pula ke arah Masjid India dan orang ramai yang berkumpul di hadapan bank tersebut.

Kira-kira 800 orang di dalam masjid tersebut, cuba mengelak daripada terkena tembakan meriam air itu dan berarak menghala ke Dataran Merdeka, tetapi di situ juga mereka berdepan pula dengan tembakan meriam air.

Mereka kemudiannya berjaya beredar dalam jarak 50 meter dari Dataran Merdeka, dan ini memaksan trak meriam air itu berundur dari situ.

Jumlah orang ramai semakin bertambah menjadi lebih 2,000 dan mereka berterusan melaungkan "Allahuakbar".

Berlindung dalam masjid

Pada kira-kira jam 2.39 petang, polis melepaskan tembakan gas pemedih mata ke arah orang ramai yang sekali lagi lari berlindung dalam masjid dan bangunan sekitarnya.

Ketika itu, pihak polis telah dapat mengawal keadaan di depan Masjid India. Pihak polis kedengaran memberi amaran melalui pembesar suara, mengarahkan orang ramai supaya bersurai.

Amaran itu tidak diendahkan tetapi keadaan orang ramai masih terkawal. Mereka dilihat mengikut arahan daripada sukarelawan PAS.

Pada kira-kira jam 2.45 petang, berbelas gas pemedih mata ditembak ke arah orang ramai di Jalan Tun Perak, untuk meleraikan orang ramai yang berhimpun di situ.

Ekoran itu, polis berjaya mengawal sebahagian jalan Tun Perak, dari Dataran Merdeka ke Lebuh Ampang.

Timbalan Presiden PKR, Syed Husin Ali berkata, beliau turut terperangkap dalam kekecohan yang berlaku di luar Masjid Jamek.

Premis niaga ditutup

"Dua kali saya kena tembakan meriam air dan gas pemedih mata. Jelas kelihatan pihak polis cuba menghalang orang ramai di situ dan ia menyukarkan kita untuk meneruskan perarakan, tetapi kita berjaya juga,"
katanya kepada AFP.

Kira-kira 500 orang menunggu selama kira-kira setengah jam di Masjid Jamek dan lorong menuju ke Jalan Medan Pasar sebelum bersurai.

Terdapat laporan yang mengatakan hampir keseluruhan mereka kemudiannya menyertai satu lagi kumpulan orang ramai di Pasar Seni dan kompleks membelibelah Sogo.

Tidak dapat dipastikan sama ada sebarang tangkapan dibuat dalam kawasan stesen LRT Masjid Jamek. Bagaimanapun, terdapat laporan tidak rasmi mengenai seorang remaja cedera terkena kanister gas pemedih mata.

Manakala orang ramai yang kebetulan melalui jalan antara Putra LRT dan the Star turut terkena gas pemedih dan tembakan meriam air itu.

Source : Tragedi Batu Burok